KUALA LUMPUR: Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN), semalam, bersetuju untuk melantik semula Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai Setiausaha Agung parti itu.
Selain itu, mesyuarat turut bersetuju untuk melantik semula Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Bendahari Agung BN.
Zambry dalam satu kenyataan, malam tadi, memaklumkan bahawa pelantikan semula beliau dan Johari itu masing-masing berdasarkan Fasal 8.3(D) serta 8.3(E) Perlembagaan BN.
“Mesyuarat ini diadakan dengan penuh iltizam untuk memperkukuhkan parti sebagai wadah politik inklusif, dan mempertaruhkan tekad untuk kekal bersatu bawah payung BN,” katanya.
Untuk rekod, Zambry memegang jawatan Setiausaha Agung BN sejak Jun 2021, manakala Johari dilantik sebagai Bendahari Agung pada April 2023.
Sementara itu, Zambry berkata, mesyuarat sama turut mengesahkan kesiapsiagaan penuh BN untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
“Kestabilan politik Sabah adalah kunci memperkukuhkan keselamatan, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Negeri Di Bawah Bayu,” katanya.