KONTROVERSI kesilapan lakaran Jalur Gemilang yang cacat bintangnya pada poster program Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (HTM 1.0) 2025 merekodkan 16 laporan polis.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Terengganu Mohd Khairi Khairudin yang turut memaklumkan laporan berkenaan bukan dibuat di negeri terbabit saja, malah di lokasi lain.
Dia juga mengesahkan pihak polis sudah membuka kertas siasatan kes berkenaan.
“Sebanyak 16 laporan telah dibuat berhubung kejadian tersebut dengan laporan pertama dibuat di Kuala Pilah, dan kes disiasat pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah.

“Di Terengganu ada tiga laporan saja berkaitan kes ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Menurut Mohd Khairi, siasatan dibuat mengikut Seksyen 3 (1) (c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 2017, Seksyen 4 (1) (b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
Terdahulu, poster rasmi terbitan PAS Terengganu untuk mempromosikan HTMT 1.0 2025 menarik perhatian ramai sekali gus mengundang kecaman apabila berlaku ‘kecatatan’ padanya.
Berbanding sepatutnya ada 14, logo yang dihasilkan PAS Terengganu hanya memaparkan 11 bucu pada Bintang Persekutuan.
Empat belas pecahan itu melambangkan gabungan 13 negeri dan Wilayah Persekutuan.
Logo acara itu memaparkan Jalur Gemilang di sebelah kiri, logo PAS di tengah dan bendera Terengganu di sebelah kanan.
Selain bucunya yang tidak mencukupi, bilangan jalur merah dan putih juga cacat kerana mempunyai 12 berbanding sepatutnya 14.
PAS Terengganu kemudiannya mengemukakan permohanan maaf secara terbuka rentetan kesilapan berkenaan.
Kes tersebut menjadi tumpuan dan kemarahan ramai kerana menjadi susulan kepada beberapa kes lain sejak bulan lalu membabitkan Jalur Gemilang.
Misalnya akhbar Sin Chew Daily yang memaparkan ilustrasi bendera tanpa bulan sabit, manakala Kwong Wah Yit Poh yang menyiarkan foto bendera dengan bintang 13 bucu di Bukit Bintang.
Kejadian itu turut menghadirkan kritikan keras PAS. Antara lain mereka menegaskan bahawa permohonan maaf semata-mata tidak memadai kerana kesalahan yang dilakukan itu sangat serius.
Semalam Malaysiakini melaporkan PAS Terengganu sudah memberikan amaran secara bertulis kepada kakitangan yang bertanggungjawab menghasilkan bendera Malaysia yang cacat itu.
Penolong setiausaha PAS negeri, Hanafiah Mat, mengesahkan perkara itu dan menegaskan pihaknya sudah membuat permohonan maaf dan ia sama seperti langkah diambil oleh pelaku lain sebelum ini.
“Kami dah mohon maaf atas kesilapan yang tidak disengajakan. Sama dengan pihak lain, mereka mohon maaf saja.
“Beri amaran secara bertulis (kepada kakitangan),” katanya. – Malaysia Kini