SHAH ALAM: Pas bersedia menyerahkan individu yang bertanggungjawab atas kesilapan memaparkan Jalur Gemilang tidak lengkap dalam poster promosi himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) sekiranya diminta berbuat demikian oleh pihak polis.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk bekerjasama jika melibatkan pihak berkuasa.
“Tertutup itu parti kamu yang sedangkan amalkan rasuah sekarang. Parti sendiri pun sedang huru-hara,” jelasnya.

Sebelum ini, Pas Terengganu memohon maaf secara terbuka susulan kontroversi logo himpunan TMT 2025 yang memaparkan bintang Jalur Gemilang tanpa jumlah bucu lengkap.
Sekretariat program itu memaklumkan, pihaknya sudah menarik semula penggunaan logo berkenaan dan mengeluarkan versi baharu yang dikemas kini.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Wei Kiat menyifatkan tindakan Pas yang hanya memohon maaf menunjukkan sikap tidak konsisten apatah lagi selepas Pemuda parti itu sebelum ini lantang mengkritik kesilapan serupa dalam akhbar bahasa Cina.
Katanya, Pas Terengganu sepatutnya menyerahkan individu yang bertanggungjawab atas kesilapan itu kepada pihak polis bukan sekadar memohon maaf.
Dalam masa sama, Ahmad Fadhli menyindir Wei Kiat agar memahami undang-undang negara terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.
“Saya minta dia belajar undang-undang lah dulu. Dalam undang-undang kalau polis minta serah baru serah, mana boleh orang tak minta serah kita serah,” ujarnya. – Sinar Harian