HULU TERENGGANU: UMNO Terengganu menegaskan soal pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bukan sekadar memenuhi hasrat parti semata-mata sebaliknya mestilah berpaksikan kepada jaminan kemenangan.
Pengerusinya, Datuk Rozi Mamat berkata, tuntutan untuk bertanding di mana-mana kawasan tidak menjadi masalah, namun setiap parti perlu bersikap realistik bagi mengelakkan kerugian kepada gabungan.
”Setiap parti ada hasrat masing-masing, UMNO juga ada hasrat kita. Soal tuntutan kita terbuka dan boleh bincang pro dan kontra, tetapi yang penting kita mesti menang pada PRU16.
”Bukan soal kerusi semata-mata. Tidak wajar jika hanya mahukan kerusi tetapi tidak boleh menang,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persiapan parti dan agihan kerusi menjelang pilihan raya akan datang.
Mengulas lanjut, Rozi menjelaskan kedudukan kerusi dalam Barisan Nasional (BN) mahupun melibatkan parti gabungan yang lain masih belum diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi.
Jelasnya, UMNO Terengganu mempunyai sistem organisasi yang tersusun dan akan akur dengan sebarang ketetapan yang dibuat oleh jawatankuasa yang telah ditetapkan.
”Setakat ini belum diputuskan lagi berapa jumlah kerusi bagi setiap negeri. UMNO Terengganu tiada masalah dan bergantung kepada Jawatankuasa tertinggi untuk membuat keputusan agihan, sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen,” jelasnya.
Ditanya mengenai kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan pada PRU16, beliau enggan mengulas lanjut memandangkan perkara itu melibatkan keputusan di peringkat nasional. – Sinar Harian
