PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) bersedia menjalin pakatan pilihan raya dengan mana-mana parti politik yang bersedia bekerjasama dengan gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah itu boleh dilaksanakan sama ada melalui penyertaan rasmi ke dalam PN atau melalui kerjasama longgar dalam bentuk pakatan pilihan raya.
“Kalau mereka berminat, mereka ada dua cara. Satu, mereka menyertai PN, menjadi komponen gabungan. Sekarang, kita ada empat komponen (Bersatu, PAS, Gerakan dan MIPP). Sekiranya semua parti komponen setuju akan ada tambahan parti baru menyertai PN.
“Pakatan pilihan raya (pula) bermaksud mereka bukan sebahagian PN, tapi mereka bekerja bersama dengan PN.
“Dan jika kita setuju, kita boleh kata, jika mereka tanding di satu kerusi, kita tak akan tanding,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti India Rakyat Malaysia (MIPP) di Petaling Jaya, hari ini.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata dia belum pasti sama ada parti yang berminat itu bersetuju dengan cadangan berkenaan atau sebaliknya.
“Ada di kalangan yang mereka pun sudah ada yang membuat permohonan. Saya tak payah sebut (nama parti). Tapi, kita tidak membuat keputusan yang utama.
“Saya fikir lepas kita tubuhkan gabungan longgar, kemungkinan ada lagi yang berminat,” katanya.
Muhyiddin menegaskan, keputusan muktamad tidak bergantung kepadanya seorang.
Sebelum ini MIC antara parti yang disebut-sebut bakal menyertai PN pada PRU16 memandangkan parti itu beberapa kali menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan perpaduan, walaupun masih menjadi sebahagian daripada BN.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut dilapor ‘merisik’ MCA dan MIC untuk menyertai PN selepas mengambil maklum bahawa kedua-dua parti tersebut tidak diwakili dalam kerajaan.
Muhyiddin juga telah mengumumkan bahawa 12 parti pembangkang bersetuju menubuhkan gabungan longgar bagi memperjuangkan isu-isu yang didakwa gagal ditangani oleh kerajaan Madani, termasuk janji reformasi.
Gabungan itu terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan, Pejuang, Muda, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Putra, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Kemajuan Malaysia (MAP), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), yang masih belum didaftarkan secara rasmi. – Malaysia Kini