Politik

Menantu Muhyiddin dikatakan hidup mewah di Asia Barat

PUTRAJAYA: Ahli perniagaan yang menjadi buruan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, yang melarikan diri lebih dua tahun lalu, dipercayai kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.

Adlan, yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menghadapi pertuduhan pecah amanah.

Beberapa gambar yang dikongsi kepada New Straits Times menunjukkan Adlan bersama beberapa kenamaan dari Asia Barat. Dalam salah satu gambar itu, kelihatan potret seorang pemimpin negara berkenaan.

Sumber memberitahu NST bahawa Adlan kerap keluar masuk negara berkenaan untuk perjalanan ke luar negara, termasuk ke Thailand bagi bermain golf dan mengunjungi lapang sasar menembak.

Difahamkan, keluarganya turut berada bersamanya, namun NST tidak dapat mengesahkan maklumat itu.

Adlan di negara tiada perjanjian ekstradisi

Sebelum ini, SPRM memaklumkan bahawa Adlan dipercayai tinggal di sebuah negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.

Adlan, 49, meninggalkan negara ini menuju ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas bapa mentuanya didakwa atas beberapa pertuduhan rasuah.

Peguamnya, Mansoor Saat, 70, turut melarikan diri. Beliau meninggalkan negara ini menuju ke Jakarta, empat hari selepas Adlan dan sejak itu tidak kembali.

Mansoor juga berdepan tuduhan pecah amanah yang berkaitan dengan projek National Enforcement and Registration (Biometrics) System (NERS), yang dibiayai melalui kemudahan sukuk bernilai RM595 juta.

Projek NERS bertujuan meningkatkan keselamatan negara melalui pengumpulan data biometrik. Namun, siasatan mendapati hampir RM50 juta hasil kutipan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) – yang sepatutnya digunakan untuk pembayaran balik sukuk – diselewengkan.

Siasatan SPRM mengenal pasti Adlan dan Mansoor sebagai individu yang dipercayai terbabit dalam kes itu, yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Kedua-duanya sebelum ini mengeluarkan kenyataan melalui peguam masing-masing menafikan bahawa mereka melarikan diri bagi mengelak pendakwaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, siasatan terhadap kes itu bermula pada 13 Mac 2023 selepas laporan rasmi diterima.

“Antara Mei hingga Ogos 2023, pegawai penyiasat menghubungi Adlan berkali-kali melalui panggilan telefon, WhatsApp dan surat rasmi bagi memintanya hadir ke ibu pejabat SPRM,” katanya.

Apabila Adlan gagal hadir, SPRM mengambil beberapa tindakan termasuk:

•Mengisytiharkan Adlan dan Mansoor sebagai individu dikehendaki pada 7 Ogos 2023;

•Mendapatkan waran tangkap dari Mahkamah Majistret Shah Alam pada 7 September 2023;

•Memohon Notis Merah Interpol melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) dan menyerahkan dokumen penuh kepada Interpol pada Oktober 2023;

•Bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi membatalkan pasport mereka antara Ogos dan September 2023; serta

•Mengemukakan beberapa laporan susulan kepada Interpol sepanjang 2024 dan 2025.

“Tindakan ini menunjukkan usaha bersepadu dan telus antara agensi penguatkuasaan dalam dan luar negara,” kata Khusairi.

Beliau berkata Adlan, ketika pertama kali dihubungi pada Mei 2023, mengakui siasatan itu dan memaklumkan SPRM bahawa beliau berada di Auckland, New Zealand atas urusan peribadi.

“Beliau memberi jaminan akan pulang ke Malaysia dan turut menghantar mesej menyatakan tarikh penerbangan – pertengahan Jun 2023, kemudian ditunda ke Julai 2023.

“Namun, beliau gagal hadir walaupun diberikan peringatan, arahan bertulis dan saman rasmi kepada ahli keluarga serta peguamnya.

“Kegagalan beliau memberi kerjasama akhirnya memaksa SPRM mengaktifkan mekanisme perundangan dan antarabangsa melalui saluran Interpol dan Imigresen untuk mengesannya,” katanya.

Sementara itu, Mansoor sebelum ini mendakwa SPRM mengetahui lokasinya dan beliau memberi jaminan untuk pulang selepas menyelesaikan urusan perniagaan.

Mansoor, yang juga pemegang saham dan pengarah NERS Sdn Bhd berkata, SPRM memintanya membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan pegawai kerajaan berhubung perubahan akaun penerima hasil konsesi daripada Kementerian Dalam Negeri kepada akaun operasi syarikat.

“Saya memberi kerjasama sepenuhnya selama tiga hari. SPRM tidak menunjukkan sebarang bukti yang menyokong dakwaan rasuah atau amalan tidak berintegriti,” katanya.

Beliau mendakwa berdepan tekanan berterusan dan hanya akan kembali ke Malaysia jika tidak dianiaya.

Adlan dan Mansoor didakwa tanpa kehadiran

Selepas semua usaha membawa pulang Adlan dan Mansoor gagal, SPRM memaklumkan bahawa mereka bersetuju dengan cadangan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa kedua-duanya secara in absentia (tanpa kehadiran).

Pada 16 Oktober lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, siasatan terhadap Adlan selesai dan arahan untuk pendakwaan dikeluarkan.

Khusairi berkata, SPRM akan menyokong sepenuhnya keputusan AGC untuk meneruskan pertuduhan terhadap Adlan dan Mansoor secara in absentia.

“Untuk rekod, semua kertas siasatan dan bahan bukti diserahkan kepada AGC, dan kebenaran untuk mendakwa diperoleh pada 15 Ogos 2023.

“Keutamaan SPRM adalah menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih, dengan memastikan semua tindakan dilakukan secara telus, sah di sisi undang-undang dan selaras dengan protokol antarabangsa,” katanya.

Beliau menegaskan setiap langkah daripada siasatan hingga penyelarasan dengan Interpol dilaksanakan mengikut undang-undang bagi memastikan tiada sesiapa — tanpa mengira status — berada di atas undang-undang. – Harian Metro

Related Posts