KUALA LUMPUR : Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh hari mengumumkan peletakan jawatan sebagai EXCO Melaka.
Ahi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin itu berkata, peletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang disandang sejak April 2023 itu akan berkuat kuasa pada minggu depan.
Mengumumkan keputusan itu ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini, beliau menjelaskan akan kekal dengan jawatan Ketua Pemuda pergerakan berkenaan.
Dr Akmal berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Saya mohon maaf. Hari ini saya nak umumkan, untuk menunjukkan bahawa saya bawa suara akar umbi yang keresahan, saya letak jawatan sebagai EXCO (kerajaan negeri) berkuat kuasa minggu depan,” katanya.
Semalam, media melaporkan Dr Akmal mengakui sudah meluahkan hasrat dan isi hati ketika bertemu Ahmad Zahid serta berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri itu kerana sudi mendengar luahan hati beliau.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan inti pati perbincangan bersama Ahmad Zahid mahupun keputusan sama ada akan terus memegang jawatan sedia ada atau sebaliknya, sekadar berharap keputusannya yang terbaik untuk perjuangan agama, bangsa, tanah air dan UMNO.
Tedahulu, Dr Akmal dilaporkan berkata, beliau akan akur dengan keputusan dibuat Ahmad Zahid dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berhubung kedudukan jawatan disandangnya ketika ini.
Ini kerana, kedua-dua pihak terbabit sebelum ini memilih beliau bertanding di DUN dan dilantik sebagai EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.
Media sebelum ini melaporkan, Dr Akmal memberi bayangan sedia melepaskan jawatan Ketua Pemuda UMNO dan EXCO Kerajaan Melaka susulan kontroversi desakannya supaya parti itu mempertimbangkan kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan. – Berita Harian
