KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan gabungan itu akan meletakkan calon daripada Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Presiden Bersatu itu berkata, Pas menyasarkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sebelum ini.
“Walaupun kita kalah sebelum ini, kita tidak akan buat sebarang perubahan. Biar kekal parti sama (untuk mewakili PN).
“Kami akan berikan sokongan penuh,” katanya pada sidang media di sini seperti dilaporkan FMT.
Pas bertanding di kerusi itu lima kali sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 tetapi tewas kesemuanya.
PRK DUN Ayer Kuning akan diadakan susulan kematian penyandang Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada Sabtu lalu.
Pada PRU15, Ketua UMNO Tapah itu memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 2,213 undi dalam saingan lima penjuru.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya dilapor akan mengadakan mesyuarat khas pada 7 Mac ini bagi menentukan tarikh PRK DUN Ayer Kuning. – Berita Harian