Home Politik8 ADUN tarik sokongan, apa nasib Shukri sebagai MB Perlis?

8 ADUN tarik sokongan, apa nasib Shukri sebagai MB Perlis?

oleh suara timur

KANGAR: Kedudukan Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis dikatakan goyah selepas beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) didakwa menarik sokongan terhadap beliau.

Berdasarkan maklumat, sekurang-kurangnya lapan daripada 14 ADUN Perikatan Nasional (PN) setakat ini dikatakan sudah menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Mohd Shukri, sekali gus mencetus spekulasi kemungkinan berlaku pertukaran Menteri Besar dalam masa terdekat di Perlis.

Untuk rekod, 14 daripada 15 kerusi DUN di Perlis ketika ini dikuasai PN iaitu sembilan melalui PAS dan lima BERSATU, manakala baki satu lagi kerusi iaitu Indera Kayangan dikuasai Pakatan Harapan (PH).

Sumber dalaman PN ketika dihubungi, berkata sebahagian besar ADUN sudah menyatakan pendirian mereka berhubung isu berkenaan, dengan dua pilihan kini dilihat berkemungkinan berlaku sama ada Mohd Shukri meletakkan jawatan atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

banner

“Kemungkinan tukar Menteri Besar memang ada dan ia bergantung sama ada Mohd Shukri memilih untuk meletakkan jawatan atau sebaliknya selepas sokongan terhadap beliau semakin berkurangan.

“Jika keadaan ini berlarutan, pembubaran DUN juga tidak boleh diketepikan,” katanya ringkas tanpa mendedahkan bilangan sebenar ADUN yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis itu.

Namun sumber memaklumkan antara yang sudah menarik sokongan termasuk wakil BERSATU, selain beberapa lagi membabitkan ADUN PAS.

Malah, sumber memaklumkan akuan bersumpah (SD) juga sudah diserahkan kepada Raja Perlis bagi menyatakan mereka tidak lagi menyokong Mohd Shukri.

Dalam perkembangan berkaitan, BERSATU dikatakan sudah mengemukakan tiga nama sebagai calon Menteri Besar sekiranya berlaku pertukaran kepimpinan, manakala calon daripada PAS belum dimuktamadkan.

Sementara itu, seorang ADUN PN yang enggan namanya didedahkan mengesahkan kemungkinan pertukaran Menteri Besar wujud, namun memaklumkan Mohd Shukri ketika ini masih menerima rawatan di sebuah hospital berikutan masalah kesihatan.

Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan daripada pihak PN berhubung kemelut melanda.

Terdahulu, media melaporkan Mohd Shukri dikejarkan ke sebuah hospital di ibu negara bagi menjalani pemeriksaan lanjut selepas pulang daripada urusan luar negara.

Beliau dilaporkan mengadu sakit dada dan kini berada dalam keadaan stabil. – Berita Harian

Tinggalkan komen