KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar kecewa apabila tidak dijemput untuk merasmikan program RXZ Member 0.7
di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus pada tahun ini.
Tindakan Ahmad Samsuri menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi sumbangan RM100,000 kepada pihak penganjur dengan membuat tuduhan bermain politik berpanjangan 24 jam.
Sebagai Perdana Menteri, tidak menjadi kesalahan kepada beliau untuk memberi sokongan kepada program yang melibatkan anak muda itu.
Pada masa sama, penganjur juga tidak boleh disalahkan kerana mereka bukan mahu bermain politik, sebaliknya penganjuran program tersebut untuk meraikan pemilik motosikal RXZ dari seluruh negara.
Pihak penganjur sebenarnya sangat mengalu-alukan penajaan daripada pelbagai pihak bagi melancarkan program yang melibatkan kehadiran kira-kira 100,000 pemilik dan peminat motosikal RXZ.
Mereka juga menerima dan menyambut dengan baik sekiranya kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bersama-sama menaja program berkenaan.
Namun, Ahmad Samsuri didapati koyak apabila Perdana Menteri memberi sumbangan RM100,000 dengan membuat tuduhan kononnya program RXZ itu menjadi mangsa politik cemburu orang Putrajaya/KL.
Malah, Menteri Besar itu yang juga Naib Presiden Pas melebelkan sumbangan Perdana Menteri itu sebagai politik ‘low class’ dan ‘politik komang spanar’.
Ahmad Samsuri tidak perlu gusar pengaruh politiknya akan kendur dengan penglibatan kerajaan Persekutuan dalam program tersebut
Pada PRK dan PRU15, Pas menang besar 40-0 di Terengganu, jadi apa yang ditakuti oleh Ahmad Samsuri.
Apa yang pasti dan perlu difahami oleh rakyat Terengganu, keputusan penganjur tidak menjemput Ahmad Samsuri merasmikan program itu kerana kerajaan negeri didakwa tidak memberi sumbangan besar kepada penganjuran tersebut.
Jadi tidak menjadi kesalahan kepada penganjur untuk tidak menjemput Ahmad Samsuri atau barisan Exco kerajaan negeri hadir dan merasmikan program itu.
Namun, terdapat portal kerajaan negeri membuat tanggapan Menteri Besar dan Exco dihalang hadir pada program itu.
Pihak penganjur dan kerajaan Persekutuan tidak menghalang mana-mana pihak hadir di perhimpunan tersebut termasuk para pemimpin negeri.
Selain itu, difahamkan juga terdapat dalam kalangan penyokong Pas di Terengganu selama ini menganggap program tersebut dianjurkan oleh kerajaan Terengganu dan Pas.
Sebenar penganjuran RXZ Member itu adalah daripada kumpulan anak muda yang mahu menghimpunkan pemilik motosikal lejen itu.
Lebih memalukan, tindakan kebudak-budakan’ penyokong Pas dan beberapa Exco kerajaan negeri bertindak
menyerang dengan membuat pelbagai tohmohan dan fitnah terhadap pihak pengurusan program tersebut gara-gara menerima sumbangan RM100,000 daripada Perdana Menteri. – Suara Timur