KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) sekali lagi memberi isyarat jelas untuk bergerak solo dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Perwakilan UMNO yang menghadiri sesi taklimat tertutup Presiden UMNO petang ini ketika dihubungi BH, memaklumkan perkara itu antara disebut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada pimpinan utama parti di akar umbi ketika menyentuh persiapan parti mendepani PRU16 kelak.
Bagaimanapun, beliau berkata Ahmad Zahid menegaskan meskipun BN bergerak solo, parti perlu juga menerima dinamika politik semasa yang menuntut UMNO menjalin persefahaman dengan parti yang kini berada di luar BN.
“Presiden tidak memperincikan strategi persefahaman itu sama ada dengan PH (Pakatan Harapan) atau PN (Perikatan Nasional). Namun strategi itu (tanding solo) bagi membolehkan UMNO mampu menjadi parti dominan selepas pilihan raya nanti.
“Presiden sebut UMNO mulai sekarang mesti menyantuni sama ada (parti) kawan mahupun lawan, untuk memastikan hasrat itu (parti jadi dominan) akhirnya dapat dicapai,” katanya.
UMNO dan BN gagal menjadi parti dominan selepas PRU15 selepas hanya memenangi 30 daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen.
Sebaliknya, PAS mengambil peranan itu serta menjadi parti politik yang memiliki jumlah kerusi tertinggi di Parlimen iaitu 43 kerusi, diikuti oleh DAP dengan 42 kerusi.
Dalam pada itu, seorang lagi perwakilan parti menjelaskan Presiden UMNO juga menyatakan keperluan supaya parti lebih terbuka dalam menerima kembali pemimpin dan ahli-ahli UMNO yang ketika ini sudah meninggalkan perjuangan.
“Presiden minta supaya perwakilan terbuka dan dapat menerima kembali bekas pemimpin UMNO yang ketika ini bersama pembangkang.
“Presiden akui ditemui oleh mereka (bekas pemimpin UMNO) ini dan ada yang menyatakan hasrat untuk kembali (ke dalam UMNO).
“Namun presiden tegaskan, ia (terima kembali bekas pemimpin ini) mesti mendapat mandat dan persetujuan semua perwakilan PAU (Perhimpunan Agung UMNO) kali ini.
“Kita tunggulah sehingga Sabtu ini untuk melihat keputusannya,” katanya.
Sesi taklimat Presiden UMNO petang ini berlangsung lebih sejam dihadiri lima pemimpin teratas dari 191 bahagian di seluruh negara, termasuk sayap parti itu.
Perhimpunan agung parti Melayu itu bermula esok dengan persidangan sayap-sayap diikuti PAU 2025 yang bermula Jumaat dan Sabtu ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Ahmad Zahid turut menyentuh beberapa isu lain termasuk menegaskan parti tidak akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) selagi mereka tidak menerima syarat sekurang-kurangnya kepujian dalam Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Presiden juga tegaskan supaya pihak pengurusan UEC turut mengajar silibus subjek Sejarah yang dikeluarkan KPM (Kementerian Pendidikan) dalam sistem pendidikan mereka,” katanya.
Menyentuh mengenai isu bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, beliau berkata Ahmad Zahid menyatakan akan mengumumkan langkah UMNO seterusnya untuk membebaskan Najib pada ucapan dasarnya Jumaat ini. – Berita Harian
