RAUB: Lima sekeluarga ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat di sini pada Khamis.
Dalam kejadian itu, mangsa yang maut membabitkan pasangan suami isteri serta tiga anak mereka.
Ketua Polis Daerah Raub Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu sekitar 3.35 pagi.
“Sejurus pemadaman kita menjumpai kesemua mangsa di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.
Beliau berkata kesemua mayat berkenaan akan dibawa ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.44 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, jentera pertama tiba di lokasi pada jam 4.15 pagi mendapati sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 40 x30 kaki persegi telah terbakar.
“Berdasarkan laporan operasi, terdapat terdapat lima mangsa ditemukan rentung di dalam rumah berkenaan membabitkan lelaki dan perempuan dewasa berserta tiga kanak-kanak.
“Kemusnahan struktur rumah adalah 100 peratus dan turut terbakar tiga buah kereta serta tiga buah motosikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau memaklumkan, pasukan bomba bertindak memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran hos 200 kaki dan dua pancutan sumber air tangki pam jentera bomba.
Tambah beliau, operasi memadam kebakaran diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan, Saiful Bahari Abd Rahman dengan kekuatan sembilan anggota dari BBP Raub serta bantuan lima anggota dari BBP Lipis. – Sinar Harian
