SETIU: PAS menyifatkan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai mengigau apabila mengatakan kedudukan tiga kerajaan negeri diterajui Perikatan Nasional (PN) iaitu Perlis, Kedah dan Terengganu sebagai tidak stabil.
Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata Ahmad perlu berusaha gigih jika Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menganggap mereka berpeluang merampas semula tiga negeri itu.
“Bagi kita, jika Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, menganggap BN berpeluang merampas tiga negeri itu, dia mungkin mengigau dan perlu berusaha keras ke arah itu,” katanya selepas mengiringi Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menyampaikan hadiah Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Dipertuan Muda 2025, di Terengganu International Endurance Park (TIEP), di sini, hari ini.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahmad yang menyifatkan kedudukan kerajaan negeri diterajui PN iaitu Perlis, Kedah dan Terengganu tidak stabil.
Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Langkawi, Kedah dilaporkan berkata, kedudukan tidak stabil tiga negeri PN itu membuka peluang BN dan PH merampasnya semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. – Berita Harian