Politik

Muhyiddin didakwa tak rujuk MT PN sebelum tolak cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, didakwa tidak berbincang dengan Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) sebelum membuat keputusan menolak cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mendakwa keputusan kepada cadangan itu dibuat dengan segera oleh Pengerusi PN itu di hadapan Al Sultan Abdullah selepas beberapa ketua parti, termasuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dipanggil menghadap baginda di Istana Negara pada 22 November 2022.

Ketika itu, tiada mana-mana parti politik yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan, menyebabkan Al-Sultan Abdullah menitahkan penubuhan Kerajaan Perpaduan.

“Atas dasar prinsip, mungkin beliau tidak mahu bersama DAP, mungkin kerana kami sudah dapat 115 kerusi terlebih dahulu, akhirnya membuatkan pendirian Tan Sri Muhyiddin menolak (cadangan Kerajaan Perpaduan).

“Bagaimanapun, saya difahamkan oleh beberapa pimpinan kanan PAS dan BERSATU, tolak menolak ini tidak dibincangkan dalam MT, maknanya keputusan itu dibuat dengan segera di depan Tuanku,” katanya dalam program The Zaid Ibrahim Podcast yang disiarkan semalam.

Pada petang 22 November 2022, Muhyiddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah menitahkan cadangan supaya PN dan PH membentuk Kerajaan Perpaduan, dalam satu sidang media selepas pulang daripada menghadap baginda di Istana Negara, bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Muhyiddin, bagaimanapun memaklumkan kepada baginda yang gabungan parti itu tidak mahu bekerjasama dengan PH, kerana itu menjadi prinsip gabungan terbabit sejak dulu.

Muhyiddin berkata, beliau diminta menandatangani satu dokumen berhubung cadangan itu, namun beliau menulis nota menyatakan tidak bersetuju terhadap cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan antara PN dan PH.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal yang kini digantung daripada BERSATU selama sepenggal berhubung isu akuan bersumpah (SD) berkaitan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini, mendakwa kejadian itu menjadi titik tolak kepada masalah dalaman dalam BERSATU dan PN.

Beliau turut berpandangan, PN sepatutnya perlu mengambil masa untuk berbincang mengenai cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan itu, berbanding dengan segera menolaknya.

Ditanya sama ada Muhyiddin berpeluang menjadi Perdana Menteri jika menerima cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan, beliau difahamkan kemungkinan ada penggiliran bagi jawatan itu kerana PH dan PN sama-sama mempunyai kedudukan yang kuat.

“Apabila Tan Sri Muhyiddin menolak, Datuk Seri Anwar menerima, maksudnya diberi ruang oleh Tuanku untuk memastikan tertubuhnya Kerajaan Perpaduan.

“Pada asalnya, semua yang sokong Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri itu menyokong Tan Sri Muhyiddin,” katanya. – Berita Harian

Related Posts