ARAU: Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli gagal merebut jawatan Yang di-Pertua PAS Arau dalam pemilihan yang diadakan hari ini.
Mohd Shukri tewas kepada penyandang, Solahudin Azmi yang terus diangkat perwakilan bagi memimpin PAS Arau untuk sesi 2025-2027.
Seorang pemimpin PAS Perlis yang enggan namanya didedahkan mengesahkan perkara itu.
“Ya, menteri besar tewas dalam pemilihan PAS kawasan Arau, itu sahaja yang bolah saya maklumkan,” katanya kepada Malaysiakini.
Dia turut mengesahkan yang Speaker DUN Perlis Russele Eizan gagal mempertahankan jawatan timbalan yang di-pertua.
Russele yang juga naib pengerusi II PN Perlis tewas kepada Adun Guar Sanji, Ridzuan Hashim.
Seorang lagi pemimpin yang menyokong Mohd Shukri, Exco Perlis Razali Saad pula gagal mempertahankan jawatan naib yang di-pertua, apabila tewas kepada Nur Yusairy Mansor.
Menurut pemi sebelum ini, pemilihan bagi PAS Arau dijangka membabitkan lebih 200 perwakilan daripada 60 cawangan.
PAS Padang Besar dijangka menjalankan pemilihan esok, manakala PAS Kangar pada 28 Jun ini.
Mohd Shukri sebelum ini mengundang kontroversi susulan penahanan anaknya, Mohd Syafeeq yang didakwa mengemukakan tuntutan palsu.
Pada 23 Mei tahun lalu, Mohd Syafeeq didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar atas pertuduhan tuntutan palsu lebih RM19,000 untuk projek bekalan minuman untuk Raja Perlis di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
Malah perkara itu pernah dibangkitkan oleh perwakilan Perlis semasa muktamar tahun lalu, yang menyifatkannya telah memberi kesan buruk kepada parti. – Malaysia Kini