Negara

Syor Pelita Raya Terengganu dijadikan acara TMM 2026

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menyarankan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menjadikan Pelita Raya Terengganu sebagai acara utama dalam kalendar acara Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, program Pelita Raya Terengganu mampu menarik lebih pelancong ramai pelancong asing menerusi penyertaan peserta dari negara-negara luar negara.

Menurutnya, antara negara  luar yang menyertai program tradisional itu pada tahun ini adalah Thailand, Indonesia, Myanmar dan Bangladesh.

Katanya, penyertaan dari negara luar dijangka  bertambah pada program itu yang akan diadakan pada Ramadan.

“Kerajaan negeri dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu berbesar hati sekiranya pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Tourism Malaysia dapat menjadikan program Pelita Raya Terengganu ini sebagai acara utama dalam kalendar acara TMM 2026,” karanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutup program Pelita Raya Terengganu 2025 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus dekat sini semalam.

Majlis perasmian penutup program tersebut disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri  Mokhtar.

Razali memberitahu, jumlah pengunjung yang direkodkan hadir memeriahkan program tersebut yang bermula dari 13 hingga 16 Mac lalu ialah seramai 170,000 orang.

Katanya, kejayaan program itu didorong promosi yang meluas, kreativiti peserta dalam menghias ruang pameran serta konsep program yang unik dan tidak ada di negeri-negeri lain.

“Edisi kali ini, sangat membanggakan kerana tidak hanya menarik penyertaan dari Kelantan dan Perlis, malah negara-negara luar seperi  Thailand, Indonesia, Myanmar dan Bangladesh.

“Selain itu, penyertaan kaum Cina dan India dari Terengganu, serta masyarakat Orang Asli dari Sungai Berua, Hulu Terengganu, turut menjadikan program Peliter Raya Terengganu  2025 lebih istimewa,” ujarnya. – Utusan

Related Posts