Negara

Pencari emas maut tertimbus dalam anak sungai di Pahang

KUANTAN: Seorang lelaki maut selepas tertimbus ketika menjalankan aktiviti mencari emas di sebuah anak sungai berhampiran Kampung Berhamah, Merapoh, Lipis, pada Rabu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kejadian yang menimpa mangsa, Ayub Ahmad, 37, dilaporkan berlaku sekitar jam 10.04 malam.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diterima, aktiviti mencari emas di lokasi berkenaan dipercayai dijalankan menggunakan sebuah jengkaut bagi mengorek dasar anak sungai tersebut.

“Mangsa turun ke kawasan yang telah dikorek dengan memakai saluran udara sebelum tertimbus,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Susulan kejadian, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Koyan digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 55 kilometer dari balai bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Zulfadli berkata, sebelum ketibaan pasukan bomba, pihak polis dan penduduk kampung terlebih dahulu berusaha mengorek kawasan mangsa tertimbus.

“Mayat mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan pada jam 11.15 malam,” katanya. – Sinar Harian

Related Posts