Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Koperasi Peserta-Peserta Felcra Kawasan Bukit Keladi Kemaman Berhad (KPR) diingatkan supaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) bagi tahun ini selewat-lewatnya pada Jun depan.
Penolong Pengarah Kanan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Kemaman, Saffuan Fathi Md Shuhaimi berkata, peringatan itu dibuat susulan pindaan undang-undang kecil yang diluluskan dalam MAT KPR tahun lalu.
Beliau berkata, sebelum ini tahun kewangan KPR berakhir pada 30 Jun setiap tahun, namun ia telah dipinda kepada 31 Disember.
“Mesyuarat agung tahunan hendaklah diadakan dalam tempoh enam bulan selepas berakhirnya tahun kewangan,” katanya ketika berucap pada Program Sehari Bersama Pewaris Felcra Kawasan Bukit Keladi di Dewan Sri Geliga, Majlis Perbandaran Kemaman, di sini semalam.
Turut hadir Pengurus Kawasan Felcra Bukit Keladi Berhad, Abdul Mutalib Mohd Hanifah dan Pengerusi KPR, Wan Abd Aziz Wan Othman.

Saffuan Fathi berkata, Seksyen 39 Akta Koperasi 1993 (Akta 502) di bawah seliaan SKM mewajibkan setiap koperasi mengadakan MAT dalam tempoh enam bulan selepas tamat tahun kewangan.
Beliau turut menjelaskan syarat keanggotaan KPR adalah terdiri daripada peserta Felcra Kawasan Bukit Keladi yang disahkan oleh Felcra Berhad serta ahli keluarga terdekat iaitu suami, isteri dan anak yang memiliki saham minimum.
Menurutnya, jumlah saham minimum yang sebelum ini ditetapkan sebanyak RM200 telah dipinda kepada RM500.
“Hanya anggota yang memiliki saham minimum layak menghadiri dan mengambil bahagian dalam MAT termasuk membahaskan usul, mencadang, menyokong, mengundi serta menerima pelantikan.
“Anggota yang tidak memenuhi syarat saham minimum masih boleh hadir tetapi hanya sebagai pemerhati dan tidak layak mengambil bahagian dalam mesyuarat,” katanya.
Beliau berkata, anggota yang belum mencukupi saham minimum disaran menambah pegangan saham masing-masing bagi membolehkan mereka mengambil bahagian sepenuhnya dalam MAT.
Sementara itu, wakil kepada anggota yang tidak dapat hadir juga dibenarkan menghadiri mesyuarat sebagai pemerhati sahaja dan tidak mempunyai hak untuk bersuara atau mengundi.
Saffuan Fathi berharap KPR sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi mengelakkan MAT diadakan menjadi tidak sah atau terbatal. – Suara Timur
