Home NegeriTerengganu kekal kadar zakat fitrah tak kurang RM10

Terengganu kekal kadar zakat fitrah tak kurang RM10

oleh suara timur

KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengekalkan kadar zakat fitrah di negeri ini tidak kurang daripada RM10 seorang.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Zulkifli Ali berkata, kadar bagi yang menggunakan beras jenis Basmathi atau setara pula ditetapkan RM20 seorang.

Katanya, seramai 906 amil dilantik untuk membuat kutipan zakat fitrah di seluruh negeri tahun ini.

“Kita mensasarkan kutipan zakat fitrah kira-kira RM13 juta tahun ini.

banner

“Kadar zakat fitrah ditetapkan berdasarkan harga beras gred tempatan mengikut timbangan satu gantang Baghdad bersamaan dengan 2.6 kilogram atau 2.97 cupak beras,” katanya ketika mengumumkan kadar zakat fitrah bagi tahun 1447H/2026M, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan dan Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Zakat), Nazli Amirri Ngah.

Zulkifli berkata, MAIDAM akan mengagihkan bantuan zakat sempena Ramadan kepada 29,402 asnaf fakir dan miskin membabitkan perbelanjaan kira-kira RM15.8 juta.

Katanya, isi rumah yang tidak mempunyai tanggungan akan menerima bantuan sebanyak RM300, manakala isi rumah mempunyai tanggungan dua dan tiga akan menerima RM500 dan memiliki tanggungan melebihi empat akan menerima RM700.

“Seramai 7,877 Ketua Isi Rumah (KIR) tunggal akan menerima bantuan zakat sebanyak RM300 membabitkan perbelanjaan kira-kira RM2.4 juta, manakala 8,228 KIR yang mempunyai dua dan tiga tanggungan akan menerima RM500 membabitkan perbelanjaan kira-kira RM4.2 juta.

“Seramai 13,297 KIR yang mempunyai empat tanggungan ke atas akan menerima RM700 membabitkan peruntukan kira-kira RM9.4 juta,” katanya.

Zulkifli berkata, MAIDAM akan mengagihkan bantuan zakat tahun ini melalui kaedah tuntutan di kedai terpilih dan bukannya pembayaran secara tunai.

Katanya, penerima bantuan zakat boleh membuat tuntutan barangan keperluan harian, termasuk membeli pakaian, membayar bil utiliti termasuk bil telefon dan pembelian tambah nilai menerusi perkedaian runcit dan pasar raya serta melalui dalam talian.

“Kita juga menyeru seluruh umat Islam mengeluarkan zakat fitrah kepada amil yang dilantik MAIDAM.

“Pembayaran kepada mereka yang tidak dilantik adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 41, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001,” katanya. – Metro

Tinggalkan komen