PUTRAJAYA: UMNO berpendirian untuk tidak mahu pisang berbuah dua kali dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang ketika ini.
Tanpa menamakan parti politik tertentu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam soal itu UMNO tidak mahu dikhianati oleh pihak sama berulang kembali.
“Kita tidak mahu bernostalgia menggunakan apa-apa nama yang pernah dicadangkan dahulu dan kita belum memuktamadkannya lagi.
“Itu sebabnya perincian penting kerana kita tidak mahu dipatuk oleh ular yang sama bagi kali yang kedua di tempat yang sama,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sama ada UMNO akan menghidupkan semula kerjasama dengan PAS bawah payung Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh untuk menghidupkan semula MN susulan perkembangan politik mutakhir di Perlis ketika itu.
Saranan Dr Muhamad Akmal itu disambut baik Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari yang dilaporkan berkata beliau sangat bersetuju dengan cadangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai kunci kepada kekuatan serta kebangkitan semula perpaduan ummah.
Ahmad Zahid berkata, perkara berkenaan antara yang dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik UMNO semalam. – Metro
