KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, hari ini mengumumkan pelantikannya sebagai Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri Sabah dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat.
Menurut Annuar, beliau turut dilantik jawatan penting yang lain seperti Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat dan Timbalan Pengerusi Lajnah Pilihan Raya dan Latihan Politik.
Katanya, watikah pelantikan itu diserahkan sendiri oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pada satu majlis di Ibu Pejabat Pas, pagi tadi.
“Saya dengan ikhlas menerima amanah ini serta akan berkhidmat sebaik mungkin kepada parti dengan berpegang teguh kepada tanggungjawab memperkasa perjuangan orang Melayu dan umat Islam dalam negara majmuk berbilang bangsa dan agama,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau turut menzahirkan kesyukuran atas istiqamah Pas yang terus berjuang atas dasar Islam untuk semua kaum dan bangsa.
Menurutnya, Pas kekal memimpin dengan semangat perpaduan dan kesatuan yang menjadi asas kepada kestabilan politik negara.
“Sebagai parti tunggal terbesar di Parlimen Malaysia ketika ini, saya berharap dan mengajak seluruh umat Islam khasnya dan rakyat amnya agar bersatu serta teguh bersama Pas memperjuangkan Malaysia yang lebih baik, insya-Allah,” katanya lagi.
Pelantikan Annuar dilihat memperkukuh peranan beliau dalam jentera politik Pas selepas meninggalkan UMNO pada 2022 dan menyertai perjuangan blok Perikatan Nasional.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan berkuat kuasa pada 6 Oktober sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17). – Awani