KUALA LUMPUR – Sentimen khuatir dengan kerjasama DAP menjadi antara perkara utama yang masih dibangkitkan akar umbi UMNO ketika ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Said berkata, parti perlu menangani segera isu tersebut sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan beberapa siri pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan dalam masa terdekat.
“Kita harap kali ini prestasi BN bertambah baik di Johor dan juga Melaka kerana dengan kemenangan besar yang berlaku di kedua-dua negeri ini akan bawa kepada kemenangan seluruh negara.
“Kita juga tidak mahu mengulangi kesilapan dahulu. Contohnya kita menang di Melaka dan Johor tapi apabila pilihan raya umum (PRU) dilewatkan kita tewas (di negeri-negeri lain).
“Kalau tengoklah sentimen akar umbi sekarang ini, lebih kepada khuatir kerjasama dengan DAP… perkara itu banyak dibangkitkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi Taklimat Bersama Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Rabu.
Sementara itu, ditanya mengenai peluang untuk UMNO merampas kembali negeri ditadbir pembangkang, Ahmad Said yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, perkara itu boleh dibuat sekiranya rakyat mahukan perubahan.
Justeru katanya, rakyat Terengganu perlu kembali kepada UMNO sekiranya mahu lebih banyak pembangunan dilaksanakan pada masa akan datang.
Beliau menambah, ini kerana pengundi di negeri berkenaan berbeza dengan Kelantan yang ditadbir Pas sejak lebih 30 tahun.
Beliau mendakwa, selepas Pas mengambil alih pentadbiran Terengganu sejak 2018, tiada perubahan ketara dalam aspek pembangunan kepada kepada rakyat dilaksanakan.
“Saya tidak mahu Terengganu menjadi seperti Kelantan. Rakyat Kelantan ini dia suka berpindah atau berhijrah. Kalau di Lembah Klang ini ramai orang Kelantan (yang bekerja dalam pelbagai sektor).
“Tapi (rakyat) Terengganu ni lain sikit. Sikap berhijrah itu kurang,” katanya. – Sinar Harian
