DUNGUN: Pantai Terengganu kembali menjadi tumpuan penyu belimbing untuk bertelur apabila seekor reptilia spesies tersebut mendarat untuk bertelur di Pantai Kuala Abang, di sini, awal pagi ini.
Induk penyu belimbing yang digelar Raja Penyu tersebut dikesan mula mendarat di pesisir pantai tersebut pada pukul 2 pagi sebelum selesai bertelur sepenuhnya kira-kira tiga jam setengah kemudian.
Ia pendaratan ketiga penyu belimbing dalam tempoh 23 hari di pantai Terengganu setelah sembilan tahun menghilang.
Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu Pang Nyukang berkata, pendaratan penyu belimbing kali ini menghasilkan 70 biji telur.
“Ibu penyu belimbing tersebut dikesan mendarat oleh seorang pemajak yang sedang mengadakan rondaan di Pantai Kuala Abang pada pukul 2 pagi tadi.
“Selepas bertelur sebanyak 70 biji, reptilia itu kembali semula ke laut pada pukul 5.30 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pang berkata, induk penyu belimbing yang ditemui pemajak terbabit berukuran 2.15 meter panjang dan 1.15 meter lebar.
Beliau percaya penyu belimbing betina itu merupakan reptilia sama yang bertelur di Pantai Pasir Putih, Marang dan Pantai Rantau Abang, di sini masing-masing pada 1 September dan 13 September lalu. – Kosmo
