BESUT: Dua pelajar tingkatan satu maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Bukit Keluang di sini, pagi tadi disahkan pelajar tingkatan satu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, mangsa dikenali Wan Mohamad Shahronny Wan Rosli dan Nik Aqil Faizin Nik Abdul Aziz, masing-masing berusia 13 tahun dan menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permaisuri Nur Zahirah.
Katanya, kemalangan kira-kira pukul 7.30 pagi itu dipercayai berlaku ketika kedua-dua pelajar berkenaan dalam perjalanan ke sekolah dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR.
“Motosikal mangsa yang keluar dari simpang dipercayai melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu wanita dari arah Taman Persiaran Limbungan menghala ke Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan.
“Kedua-dua mangsa parah di kepala dan badan, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu MPV cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Besut untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.