Sukan

Arif Aiman calon pemain tengah terbaik


KUALA LUMPUR: Debaran bagi Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2024/25 (ABK24-25) yang bakal berlangsung pada April ini sudah bermula apabila senarai 10 pemain terbaik bagi lapan kategori sudahpun disenarai pendek selepas saringan dilakukan Jawatankuasa Saringan ABK 2024/25.

Lapan kategori terbabit merangkumi kategori Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih terbaik dan Pemain Import Terbaik.

Selain itu, kategori lain adalah Pemain Muda Terbaik dan Pemain Piala MFL Terbaik yang mula diperkenalkan pada edisi tahun lalu.

Pemain Paling Bermilai (MVP) tiga kali berturut-turut, Arif Aiman Hanapi turut tersenarai dalam kalangan 10 pemain tengah terbaik bagi edisi kali ini.

Pada edisi lalu, pemain kebangsaan itu mendominasi empat lagi anugerah lain iaitu Penyerang Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Gol Terbaik Liga Malaysia 2023 serta berkongsi Anugerah Kasut Emas – Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super bersama penyerang Selangor FC Faisal Abdul Halim.

Antara pemenang edisi lalu yang turut tersenarai dalam kalangan 10 pemain terbaik bagi edisi kali ini termasuklah penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi (JDT) dan juga pemain import, Bergson da Silva (JDT).

Sebagai rekod, sebanyak 17 kategori anugerah dipertandingkan dengan satu kategori diperkenalkan semula iaitu Penyokong Terbaik menyaksikan anugerah buat penyokong terbaik pasukan yang memberi sokongan penuh tanpa berbelah bahagi menyokong pasukan kesayangan mereka dalam Liga Malaysia (Liga M).

Selain anugerah utama iaitu MVP, beberapa anugerah lain adalah termasuk ‘Fairplay Award’, Pasukan Terbaik, Gol Terbaik dan FAN XI (Kesebelasan utama pilihan penyokong).

Anugerah Kasut Emas pula menanti penjaring terbanyak dalam Liga Super, Piala MFL serta penjaring terbanyak tempatan dalam Liga Super. – Harian Metro

Related Posts