Negeri

Penternak kerbau cedera diserang beruang liar

DUNGUN: Seorang lelaki cedera parah selepas diserang seekor beruang liar ketika memantau kerbau peliharaannya dalam kejadian di sebuah ladang sawit dekat Kampung Telembuh, Jerangau Sungai, di sini, pada Khamis.

Isterinya, Roshuhaida Mokhtar, 39, berkata, ketika kejadian, suaminya, Nik Azhar Daud, 40, sedang berehat bawah sebatang pokok di ladang berkenaan sekitar jam 11 pagi.

Menurutnya, suaminya keluar ke ladang sawit itu kira-kira jam 9 pagi untuk memantau haiwan itu daripada memasuki Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang terletak berhampiran ladang tersebut.

“Waktu suami saya sedang berehat di bawah pokok, seekor beruang yang agak besar berwarna hitam telah menerpa dari belakang lalu menggigit leher suami.

“Suami saya meronta cuba melepaskan gigitan beruang itu, namun ia menggigit lengan dan bahagian kaki suami pula.

“Dalam situasi cemas itu, suami saya sempat capai parang yang diselit pada pinggang dan terus menikam beruang tersebut sebelum ia melarikan diri,” katanya kepada pemberita, di sini, baru-baru ini.

Roshuhaida yang tinggal di Kampung Nerang, di sini, berkata, akibat insiden itu, suaminya mengalami kecederaan di bahagian belakang leher, lengan dan kaki kanan serta sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

“Sebelum dihantar ke HSNZ, suami saya dikejarkan ke ke Hospital Hulu Terengganu terlebih dahulu,” katanya.

Kredit: Sinar Harian

Related Posts