Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Kumpulan RANACO hari ini
memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan enam syarikat industri bagi menyediakan peluang penempatan latihan industri dan pekerjaan kepada pelajar
Institusi pengajian tinggi swasta, RANACO Education & Training Institute (RETI) di sini.
Kerjasama itu memberi tumpuan khusus kepada pelajar aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bagi memastikan peluang pekerjaan tersedia selepas mereka menamatkan pengajian.
Ketua Pegawai Eksekutif RETI, Syafiq Asyraf Mohd. Yusup berkata, menerusi MoU tersebut, pelajar berpeluang mengikuti latihan industri secara berperingkat bergantung kepada keperluan dan kapasiti syarikat yang terlibat.
“Kerjasama ini penting bagi menyelaraskan keperluan industri dengan latihan yang diterima pelajar, sekali gus melahirkan graduan yang lebih bersedia dan berkemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara enam syarikat pemain industri dan Kumpulan Ranaco di RETI dekat sini hari ini.
Enam syarikat tersebut ialah Emerald Insulation Services Sdn Bhd, Js Major Solution Sdn Bhd, Suria Resort Management Sdn Bhd , TSMN (M) Sdn Bhd, Vesmatic Intergrated Solution Sdn Bhd dan CKJ Engineering and Services Sdn Bhd.
Turut hadir Pengerusi Yayasan Tengku Abdul Aziz Sultan Abu Bakar (YTAA), Tengku Hassanal Badyr Tengku Abdul Aziz.
Pada majlis itu, YTAA menyampaikan sumbangan naik taraf dan peralatan baik pulih fasiliti Surau RANACO.
Syafiq Asyraf berkata, pihak syarikat pula mendapat manfaat melalui akses kepada pelajar berpotensi sebagai tenaga kerja mahir untuk keperluan industri pada masa hadapan.

“RANACO mengakui antara cabaran utama pelaksanaan kerjasama ini adalah penyelarasan keperluan industri, namun ia boleh diatasi melalui komunikasi berterusan antara kedua-dua pihak,” ujarnya.
Dalam jangka panjang, menurutnya, RANACO berharap kerjasama itu dapat diteruskan dan diperluaskan bagi merangkumi lebih banyak peluang penempatan kerja dan latihan industri, selain menarik minat lebih banyak syarikat untuk bekerjasama.
“Pendekatan TVET yang menekankan kemahiran praktikal, pembelajaran secara ‘hands-on’ serta pendedahan sebenar di tempat kerja amat penting dalam menyediakan pelajar menghadapi alam pekerjaan,” menurutnya.
Menurutnya, RANACO turut menegaskan penambahbaikan fasiliti dan sokongan yayasan memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran TVET yang kondusif sebelum pelajar ditempatkan ke industri.
Selain itu, tambahnya, syarikat yang menaja pendidikan atau menyumbang kepada Tabung Pembangunan Modal Insan dengan kerjasama YTAA layak menikmati pengecualian cukai sebanyak 100 peratus di bawah insentif yang ditetapkan.
“RANACO berharap MoU tersebut dapat memperkukuh pembangunan TVET serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri dan negara,” katanya. – Suara Timur
