Negeri

Suami isteri ditemui lemas, bot terbalik di Kuala Merchang

MARANG: Suami isteri yang ke laut untuk menangkap ikan ditemukan lemas selepas bot gentian kaca dinaiki terbalik di perairan Kuala Merchang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd Sofian Redzuan berkata, mayat Abdul Rahim Mustaffa, 47, dan Norhasriah Che Osman, 46, dari Kampung Pulau Kerengga, di sini, ditemui nelayan tempatan.

“Mayat Norhasriah ditemui pada 4.30 petang, manakala suaminya, Abdul Rahim ditemui 15 minit kemudian,

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Sofian berkata, siasatan awal mendapati mangsa mula ke laut pada 7.45 pagi dan bot mereka terbalik dipercayai dipukul ombak besar.

Katanya, keadaan cuaca di perairan Kuala Merchang didapati tidak menentu dengan laut bergelora dan angin kencang, sejak Khamis lalu.

“Jadi, polis menasihatkan semua nelayan dan orang awam agar sentiasa mengambil kira ramalan cuaca sebelum turun ke laut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. – Metro

Related Posts