KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuka kapsul masa Wawasan 2020 yang telah disimpan sejak 1 Oktober 1996 dalam satu majlis khas yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur pada Ahad.
Kapsul bersejarah berusia lebih 28 tahun itu mengandungi pelbagai barangan simbolik yang mencerminkan aspirasi dan harapan negara untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020, sebagaimana yang digariskan dalam gagasan Wawasan 2020 yang diperkenalkan Dr Mahathir.
Dalam majlis tersebut, Dr Mahathir secara simbolik membuka kapsul berkenaan dan memperlihatkan kandungan di dalamnya yang mencerminkan visi dan harapan besar Malaysia ketika beliau melancarkan gagasan Wawasan 2020 hampir tiga dekad lalu.
Menurutnya, ketika kapsul itu ditanam, beliau langsung tidak menjangka akan hidup cukup lama untuk menyaksikan detik bersejarah tersebut.
“Ketika saya tanam kapsul ini, saya tak harap langsung hendak bukanya. Pada 2020, umur saya sudah lanjut. Saya fikir saya tidak sempat melihatnya. Tapi sekarang, walaupun lambat dibuka, saya masih diberi kesempatan,” katanya dalam nada sebak.
Majlis pembukaan kapsul itu diadakan sempena program ‘Raikan Raya Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad’ anjuran Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), menyaksikan pelbagai barangan kenangan dikeluarkan termasuk kad pengenalan, gambar, telefon, kenyataan media serta sajak yang dikarang sendiri oleh Dr Mahathir.
Dalam pada itu, beliau turut memuji pengurusan Menara Kuala Lumpur yang ditadbir dengan baik dan terus menjadi simbol pencapaian negara sejak pembinaannya.
“Saya harap menara ini terus menjadi simbol tahap kemajuan negara. Masa menara ini didirikan, belum ada bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur. Tapi sekarang, Kuala Lumpur sudah seperti New York, penuh bangunan tinggi.
“Insya-ALLAH, saya harap Kuala Lumpur terus berkembang sebagai pusat metropolitan yang menjadi lokasi aktiviti ekonomi, politik dan sosial serta menyumbang kepada dunia,” katanya. – Sinar Harian