Negara

Pengeluaran harumanis Kedah dijangka melonjak tahun ini

ALOR SETAR: Pengeluaran mangga harumanis di Kedah pada tahun ini dijangka mencatat peningkatan hampir 10 kali ganda berbanding tahun sebelumnya hasil usaha penanaman berskala besar sejak empat hingga lima tahun lalu.

Usaha keras pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah membantu memperkenalkannya secara tidak langsung dan mendapat sambutan baik.

Pengusaha harumanis D’Aman, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata, ladangnya yang seluas 24 hektar kini telah mengeluarkan 10 tan metrik buah dalam seminggu pertama sahaja.

Menurutnya, harumanis Kedah semakin mendapat sambutan baik daripada peminat buah tersebut apabila pihaknya juga telah mula menerima tempahan dan mula menghantarnya menggunakan perkhidmatan pos sejak minggu lalu.

“Jumlah pengeluaran mangga harumanis
tahun ini di ladang kami jauh lebih tinggi berbanding hanya tiga tan metrik yang dihasilkan tahun lalu kerana kebanyakan pokok telah mencapai usia matang iaitu antara lima hingga tujuh tahun.

“Peningkatan pengeluaran mangga harumanis menunjukkan potensi besar dalam industri pertanian tempatan dan peluang ini perlu dimanfaatkan sebagai pendapatan sampingan ataupun sebagai pendapatan tetap terutamanya golongan muda,” katanya.


MOHD Yusof Ismail menggunakan alat pengukur kemanisan bagi memastikan buah mangga harumanis memenuhi standard kemanisan minimum iaitu 15 darjah Brix.

Beliau yang juga Pengarah Urusan USIMA Agriculture berkata, pengeluaran mangga harumanis di ladangnya dijangka mencecah 30 tan metrik pada tahun ini bergantung kepada cuaca dan penjagaan semasa.

Menurut Mohd Yusof, mangga harumanis yang dijual pihaknya dikelaskan kepada tiga kategori gred utama iaitu premium, super dan deluxe agar dapat memberikan pilihan kepada pembeli mengikut tahap kualiti.

“Kami juga menjangkakan pengeluaran hasil kami mampu meningkat kepada 100 tan metrik tahun depan kerana kebanyakan pokok telah mencapai usia matang,” ujarnya.

Jelasnya, kawalan ketat terhadap kualiti buah dilakukan menggunakan alat pengukur kemanisan bagi memastikan buah yang dituai memenuhi standard kemanisan minimum iaitu 15 darjah Brix.

“Jika bacaan kemanisan kurang daripada 15, buah tidak akan dituai kerana ia akan menjadi kurang manis selepas diperam. Oleh itu, kami amat menjaga kualiti buah bagi memenuhi permintaan pasaran,” katanya lagi.

MOHD Yusof Ismail (kanan) mementingkan kualiti buah mangga harumanis sebelum dihantar kepada pelanggan yang telah membuat tempahan awal.

Beliau mengakui, walaupun pengeluaran tahun ini meningkat, jumlah 20 hingga 30 tan metrik masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan eksport, justeru pihaknya akan terus memfokuskan kepada meningkatkan hasil sambil mengekalkan kualiti.

Tambah beliau, buah tersebut kini telah dipasarkan ke seluruh negara, termasuk Lembah Klang, Shah Alam, Putrajaya, Perak, Pulau Pinang dan Kedah melalui kaedah jualan secara fizikal dan dalam talian.

Pengiktirafan Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) oleh Jabatan Pertanian selain disenaraikan di bawah Program Malaysia Best oleh FAMA secara tidak langsung meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk tersebut.- Sinar Harian

Related Posts