SHAH ALAM – Lencana Jalur Gemilang berbentuk pin yang dibekalkan oleh kerajaan pada ketika ini dikhuatiri memberi risiko kecederaan kepada para pelajar yang masih belum pandai mengendalikan objek tajam.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perunding Pendidikan MCA, Felicia Wong Yin Ting berkata, murid juga terdedah dengan kecederaan sekiranya terpijak atau terduduk atas pin bendera yang tercabut dan tercicir.
Selain itu menurutnya, penggunaan pin juga boleh merosakkan pakaian sekolah sekiranya besi pin tersebut berkarat.
“Dalam kita berusaha untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan para pelajar, keselamatan mereka tidak seharusnya dikorbankan.
“Apa yang tidak sedap didengar adalah baru beberapa hari ia dilaksanakan, ibu bapa sudah mula melahirkan kebimbangan keselamatan anak mereka melalui media sosial berhubung pin lencana yang tajam yang boleh mendatangkan kecederaan.
“Walaupun lencana itu dibekalkan secara percuma, namun turut mendapat kebimbangan ibu bapa sekiranya lencana itu pecah atau rosak, mereka perlu mengeluarkan modal untuk membeli lencana yang baharu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar murid mula dilaksanakan sejak Selasa selepas Kementerian Pendidikan sebelum ini memaklumkan ia akan dilaksana secara berperingkat di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya.
Langkah berkenaan melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru dengan objektif menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid serta warga pendidik.
Bagaimanapun, wujud rungutan daripada ibu bapa di media sosial yang menzahirkan rasa bimbang termasuk mempersoalkan tahap kualiti lencana yang dibekalkan.
Sehubungan itu Felicia berkata, MCA mencadangkan agar lencana Jalur Gemilang bersulam atau yang boleh ditampal digunakan bagi mengelak berlakunya kecederaan terhadap murid, selain mengelakkan berlakunya kes kecurian atau kehilangan.
“Walaupun inisiatif kerajaan mengedarkan lencana Jalur Gemilang ini wajar dipuji, namun harus juga mempertimbangkan kaedah alternatif yang lebih selamat dalam usaha kita ingin memupuk semangat kecintaan terhadap negara dalam kalangan generasi muda di negara ini,” katanya. – Sinar Harian