WASHINGTON – Malaysia dikenakan tarif sebanyak 19 peratus berdasarkan perintah eksekutif yang ditandatangani oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Jumaat.
Dokumen pelarasan lanjut kadar tarif timbal balas yang ditandatangani Trump bertarikh 31 Julai 2025 itu telah dimuat naik di laman sesawang Rumah Putih.
Menurut kenyataan Rumah Putih, negara-negara yang masih belum memeterai perjanjian perdagangan atau menerima notis tarif daripada pentadbiran Trump akan menerima makluman rasmi daripada AS selewat-lewatnya tengah malam Khamis.
Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, pasukan perdagangan AS bekerja tanpa henti untuk berhubung dengan sebanyak mungkin negara.
“Lebih 200 negara telah menghubungi pasukan perdagangan dan tarif kami. Kami mengutamakan rakan dagang utama, dan dua pertiga daripada 18 negara utama telah pun menandatangani perjanjian khas.
“Bagi negara yang belum menerima makluman, mereka akan menerima surat atau perintah eksekutif sebelum tengah malam,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Leavitt turut mengumumkan bahawa AS telah mencapai perjanjian perdagangan baharu dengan Korea Selatan selepas rundingan di Rumah Putih pada Rabu.
Di bawah perjanjian itu, Korea Selatan akan dikenakan tarif sebanyak 15 peratus, termasuk ke atas sektor automotif.
Korea Selatan bersetuju memberikan konsesi besar kepada barangan AS seperti beras dan tenaga.
Komitmen untuk membeli tenaga dari AS bernilai AS$100 bilion (RM427 bilion) menjelang 2028.
Pelaburan sebanyak AS$350 bilion (RM1.5 trilion) dalam industri AS akan dilakukan, dengan 90 peratus keuntungan disalurkan kepada kerajaan AS untuk mengurangkan hutang negara dan menyokong dasar pentadbiran semasa.
Leavitt turut memaklumkan bahawa rundingan perdagangan dengan China masih berjalan dengan kemajuan positif.
“Susunan perdagangan semasa dijangka dapat mengurangkan defisit AS sebanyak AS$5 bilion (RM21.35 bilion) tahun ini,” katanya.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent dan Duta Perdagangan, Jamison Greer, baru sahaja menamatkan pusingan ketiga rundingan dengan pegawai China di Geneva, dan saluran komunikasi antara kedua-dua negara kekal terbuka.
Langkah ini menandakan usaha agresif pentadbiran Trump untuk menyusun semula hubungan perdagangan global, dengan tarikh akhir yang tegas dan tekanan tarif sebagai alat rundingan utama.
Negara-negara yang masih belum mencapai persetujuan dijangka berdepan keputusan penting menjelang tengah malam. – Sinar Harian