Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Sebanyak 157 buah motosikal ditahan selepas menjadikan beberapa jalan di bandar ini sebagai litar bagi melakukan aksi berbahaya dalam Ops Samseng Jalanan, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, operasi yang bermula pada pukul 6 petang itu dilakukan
hasil risikan serta aduan penduduk setempat yang terganggu dengan aktiviti kumpulan terbabit.
“Operasi dijalankan di Jalan Batu 49 hingga Lampu Isyarat Alor Tempoyak serta Jalan Lapangan Terbang Sura Hujung.

“Sebanyak 157 motosikal ditahan membabitkan penunggang berusia antara 15 hingga 30-an dan sebanyak 259 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya.
Beliau berkata, operasi itu berakhir pada pukul 2 pagi dan kesemua motosikal yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk tindakan lanjut.
Maizura berkata, antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada lesen memandu, pengubahsuaian struktur motosikal, penggunaan ekzos bising serta cukai jalan tamat tempoh.
“Polis akan terus mempergiat operasi seumpama ini bagi membendung aktiviti samseng jalanan serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan ketenteraman awam,” katanya. – Suara Timur
