Negara

Tasik Bukit Merah kritikal, penduduk laksana solat istisqa

BAGAN SERAI – Krisis air yang berlarutan di kawasan tadahan Tasik Bukit Merah di sini hingga menyebabkan pengairan pertanian dihentikan sejak minggu lalu mendorong lebih 100 orang penduduk menyertai solat sunat istisqa di Kampung Selamat hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selinsing, Sallehuddin Abdullah berkata, solat tersebut diadakan sebagai usaha rohani apabila paras air tasik kini berada pada tahap kritikal iaitu 6.01 meter susulan cuaca kering berpanjangan lebih sebulan.

“Alhamdulillah, lebih kurang 100 orang hadir menunaikan solat. Walaupun kita jangka tidak ramai sebab waktu itu hari bekerja, namun kehadiran itu membuktikan kesungguhan masyarakat memohon kepada Allah agar diturunkan hujan segera,” katanya ketika ditemui selepas solat tersebut di Kampung Selamat, Bukit Merah di sini hari ini

Menurut beliau, situasi kemarau kini semakin membimbangkan, bukan sahaja kerana pengairan ke sawah dihentikan, malah dikhuatiri bekalan air untuk kegunaan domestik juga akan terjejas jika keadaan berlarutan sebulan lagi.

“Jika krisis ini berpanjangan, kita akan mohon kepada kerajaan untuk melaksanakan pembenihan awan sebagai langkah segera. Kami juga akan membawa perkara ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) yang dijangka berlangsung pada 30 Julai ini,” katanya.

Sallehuddin turut mendesak kerajaan Persekutuan mempercepatkan pelaksanaan projek pemindahan air (water transfer) dan pembinaan empangan baharu seperti yang dicadangkan sejak zaman pentadbiran terdahulu. – Kosmo

Related Posts