JERLUN: Kerajaan akan meneliti cadangan membina pagar penghadang dan memasang lampu jalan di sepanjang laluan berhampiran Sungai Korok di sini, susulan tragedi mengorbankan enam beranak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata cadangan itu akan dibawa kepada perhatian Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan aspek keselamatan di kawasan berkenaan ditambah baik.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata beliau juga akan mendapatkan taklimat lanjut sebelum membawa cadangan pembinaan pagar penghadang dan lampu jalan kepada pihak berkaitan.
“Kita difahamkan laluan ini tidak mempunyai lampu jalan dan keadaan agak gelap. Jadi, saya akan ikhtiarkan pemasangan lampu jalan bukan sahaja di kawasan ini, tetapi juga di kawasan gelap yang lain.
“Saya juga akan maklumkan perkara ini kepada menteri yang berkaitan kerana secara kebetulan saya adalah Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan Jalan Raya. Tindakan segera perlu diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengunjungi rumah nenek kepada Puteri Qisya Nur Izzat, 12, di Kampung Bohor Karang, di sini, hari ini.
Putri Qisya adalah anak sulung kepada pasangan Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, yang maut bersama empat anak mereka apabila kereta dinaiki terbabas ke dalam Sungai Korok, awal pagi Sabtu lalu.
Turut terkorban dalam kejadian itu ialah Putra Rayyan Nur, 9; Hawa Adriana Nur, 8; Annayla Humaira Nur, 7; dan Tuah Haydar yang berusia enam bulan.
Kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Karang pada malam tadi.
Putri Qisya terselamat kerana tidak mengikut keluarganya pulang ke rumah pada malam kejadian dan sebaliknya bermalam di rumah ibu saudaranya di Taman Seri Aman, Jitra.
Dalam kunjungan itu Ahmad Zahid berkata Putri Qisya akan dijadikan anak angkat Majlis Amanah Rakyat (MARA) sehingga menjejakkan kaki ke universiti.
Beliau turut menasihatkan Putri Qisya terus tabah dan kuat menghadapi ujian hidup yang amat berat ini.
“Saya nasihatkan adik ini supaya menjadi anak yang solehah, kerana doa anak solehah kepada ibu bapa tiada hijab. Saya minta dia sentiasa membaca al-Fatihah dan Yasin untuk dihadiahkan kepada ibu bapa serta adik-beradiknya yang telah pergi.
“Saya juga galakkan dia untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depannya. Insya-Allah, MRSM (Maktab Rendah Sains MARA) bersedia menerimanya tahun depan dan perkara itu turut dipersetujui oleh neneknya
“Selain itu, segala bantuan yang diperlukan akan disalurkan dan kita akan ikhtiarkan yang terbaik untuk masa depannya,” katanya. – Berita Harian