Mahkamah dan Jenayah

Lima pelajar kolej vokasional bergaduh ditahan

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Polis menahan lima pelajar lelaki di sebuah kolej vokasional di daerah ini selepas disyaki terlibat dalam kes pergaduhan dan pukul seorang pelajar lelaki di asrama kolej itu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kesemua pelajar berusia 17 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam, selepas mangsa yang juga berusia 17 tahun tampil membuat laporan polis tengah hari semalam.

“Kejadian pergaduhan dan pukul itu berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam, pada Selasa.

“Kejadian itu dipercayai berlaku berpunca akibat rasa tidak puas hati antara mangsa dengan suspek kerana suspek mengejutkan mangsa yang sedang tidur dengan cara menendang katil dan kemudiannya, berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Mohd. Razi berkata, beberapa rakan mereka yang lain juga dipercayai turut masuk campur dengan pergaduhan itu dan mangsa mendakwa dipukul beberapa rakannya.

“Mangsa telah dirujuk ke klinik untuk membuat pemeriksaan dan setakat ini kita masih belum mendapat laporan pemeriksaan perubatan mangsa,” katanya.

Mohd Razi berkata, lima remaja itu kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat  mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. – Suara Timur

Related Posts