KOTA BHARU: Reman isteri doktor dan dua anak yang ditahan susulan penemuan 35 kilogram (kg) dadah dipercayai ganja dan pistol dalam rumah mereka, dilanjutkan enam hari hingga 18 Ogos.
Perintah sambungan reman itu dikeluarkan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri di Mahkamah Majistret d sini, hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Wanita berusia 46 tahun dan dua anak berusia 23 dan 34 tahun sebelum ini direman tujuh hari berakhir hari ini, selepas serbuan polis di sebuah banglo di Ketereh pada 4.30 pagi 5 Ogos menemukan dadah dan sepucuk pistol bernilai lebih RM300,000.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dilapor berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas empat kenderaan termasuk BMW dan Mercedes Benz.
Katanya, suspek wanita adalah suri rumah, manakala suaminya seorang doktor berusia 60-an yang mempunyai sebuah klinik tersohor di Ketereh. – Harian Metro