Mahkamah dan Jenayah

Pengusaha kantin meninggal dunia dipercayai tersedak ketika sarapan

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN:  Pengusaha kantin sebuah sekolah rendah di daerah ini meninggal dunia dipercayai tersedak ketika bersarapan di kantin berkenaan, hari ini.

Sebelum kejadian, mangsa Mohd Abdullah, 70, dikatakan tersedak sebelum rebah dan pengsan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 9.50 pagi.

Menurutnya, anak mangsa yang menyedari keadaan ayahnya itu menghubungi klinik kesihatan berhampiran dan diberi rawatan kecemasan oleh kakitangan perubatan.

“Mangsa dihantar ke klinik kesihatan berhampiran sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 10.30 pagi.

“Siasatan mendapati mangsa mempunyai penyakit asma dan darah tinggi,” katanya.

Mohd Razi berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut.

“Bedah siasat ke atas mayat mangsa akan dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya. – Suara Timur



Related Posts