SHAH ALAM: Dua penjenayah yang dipercayai terlibat dalam kes samun berparang di sebuah taska di Tali Air 11, Pasir Panjang, Sabak Bernam, berjaya diberkas pada Selasa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditangkap di Kelana Jaya dan Shah Alam.
“Siasatan awal suspek mengaku terlibat dalam kes itu.
“Polis telah merampas sebuah Perodua Bezza yang digunakan suspek dalam kejadian jenayah itu. Turut dijumpai sebilah parang sepanjang 72 sentimeter di dalam kereta itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Rabu.
Beliau berkata, semakan lanjut juga mendapati kereta berkenaan mempunyai rekod dilapor hilang di Sungai Way, Petaling Jaya.
Tegasnya, suspek juga disahkan positif dadah selain memiliki rekod dadah dan samun.
“Siasatan masih dilakukan untuk mengesan seorang lagi suspek,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.35 pagi, Isnin lalu, tiga lelaki bersenjatakan parang menyamun sebuah taska dan bertindak agresif dengan menampar seorang guru wanita terbabit.
Kejadian dilaporkan berlaku ketika dua guru wanita dan seorang pembantu dapur sedang menunggu kedatangan kanak-kanak di taska itu.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, suspek telah melarikan dua utas rantai emas dan sebuah telefon bimbit milik dua guru terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – Sinar Harian