Mahkamah dan Jenayah

Enam pelajar Tingkatan Empat direman 6 hari akibat pukul pelajar Tingkatan Tiga

PASIR MAS: Polis mengesahkan menahan enam pelajar Tingkatan Empat selepas dipercayai membuli seorang pelajar Tingkatan Tiga sehingga cedera.

Semua pelajar lelaki berkenaan ditahan jam 2.55 petang semalam selepas bapa mangsa membuat laporan polis anaknya dipukul sekumpulan pelajar lelaki pada tengah hari kelmarin.

Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, berkata berdasarkan laporan yang dibuat, mangsa yang juga pelajar lelaki Tingkatan Tiga ditumbuk, disiku di kepala dan ditendang oleh lima pelajar lelaki Tingkatan Empat.

“Seorang daripada suspek juga turut melondehkan seluar sukan yang dipakai mangsa sehingga paras lutut. Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan di kepala selain trauma untuk pergi ke sekolah kerana sering diganggu oleh suspek yang sama.

“Susulan laporan polis yang dibuat ibu bapa mangsa, polis menahan enam pelajar lelaki untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati semua enam suspek yang ditahan mengaku membuli mangsa dan semua suspek direman enam hari bermula hari ini,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 507B Kanun Keseksaan.

Terdahulu media melaporkan, seorang pelajar Tingkatan Tiga cedera selepas dipercayai dipukul, seluar dilondehkan selain nyaris dijerut dengan dawai oleh sekumpulan pelajar dalam kejadian di sebuah sekolah di sini, kelmarin. – Berita Harian

Related Posts