Mahkamah dan Jenayah

Tersilap tukar gear, kereta dipandu warga emas rempuh cermin bank

PETALING JAYA – Akibat tersilap menukar gear, kereta yang dipandu seorang lelaki warga emas merempuh cermin sebuah bank di Seksyen 21, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, dalam kejadian pada jam 3 petang itu, mangsa berusia 78 tahun baharu menyelesaikan urusan di bank tersebut, sebelum masuk ke dalam keretanya.

“Ketika dia hendak memulakan perjalanan, lelaki terbabit dipercayai tersilap menukar gear hingga menyebabkan keretanya meluru ke hadapan dan melanggar cermin bank itu.

“Kemalangan yang berlaku itu telah mengakibatkan kerosakan pada kenderaan dan premis terbabit, tanpa melibatkan sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Shahrulnizam berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa mematuhi undang – undang bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan.

“Pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang memandu secara berbahaya dan akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melanggar undang-undang,” ujarnya. – Sinar Harian

Related Posts