Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat diumum sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) yang baharu berkuat kuasa mulai 1 November lalu.
Pengumuman tersebut dibuat agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah itu menerusi media sosialnya hari ini, sekali gus menamatkan spekulasi selepas tempoh perkhidmatan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berakhir Mei lalu.

Menurut Ketengah, pelantikan itu akan terus memperkukuh peranan serta hala tuju strategik agensi itu dalam memacu kemajuan sosioekonomi dan pembangunan mampan di wilayah Terengganu Tengah.
“Dengan pengalaman luas, kepimpinan berwibawa serta komitmen tinggi yang dimiliki oleh Rozi, Ketengah yakin pelantikan ini akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu yang selari dengan agenda pembangunan negara dan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.
Rozi menggantikan Pengerusi Ketengah sementara, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar yang dilantik selepas perkhidmatan Ahmad Said berakhir. – Suara Timur
