KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memperoleh ganti rugi RM2.5 juta selepas menang dalam kes saman terhadap Mohd Rasyiq Mohd Alwi atau dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq berhubung vaksin Covid-19 yang dimuat naik di media sosial, tiga tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memutuskan demikian selepas membenarkan saman fitnah difailkan Khairy, 49, yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau selaku plaintif terhadap Mohd Rasyiq, 45, sebagai defendan.
Hakim itu turut memerintahkan defendan membayar kos RM50,000 kepada plaintif.
Pada 25 Januari 2022, Khairy menyaman Mohd Rasyiq atas dakwaan memfitnahnya dengan membuat beberapa kenyataan fitnah termasuk menyiarkan tiga video dan gambar di Instagram ‘Ustaz Abu Syafiq’ pada 20 Oktober 2021 serta pada 6 dan 10 Januari 2022.
Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa dirinya telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi. – Metro