KUALA LUMPUR: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu membongkar kegiatan penyelewengan baja subsidi yang beroperasi di sebuah gudang di Batu 7, Simpang Empat, Kedah, kelmarin.
Serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota menerusi Op Taring Landai berjaya menahan empat individu dan merampas kira-kira 100 kilogram baja pelbagai jenis bernilai lebih RM300,000.
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, serbuan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dilakukan pada jam 1 tengah hari.
“Semasa serbuan, empat lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 65 tahun yang berada di premis berkenaan sedang memunggah baja subsidi dari lori.
“Siasatan awal dijalankan, mereka gagal mengemukakan dokumentasi sah untuk aktiviti terbabit dan baja itu disyaki diseleweng dalam urusan jual beli,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, Rusley berkata, pihaknya merampas kira-kira 100 kilogram baja dan dua lori yang digunakan bagi aktiviti berkenaan untuk siasatan lanjut.
Katanya, semua rampasan dibawa ke stor KPDN Tunjang, Kedah dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – Harian Metro