SUBANG JAYA: Seramai 36 penduduk Taman Putra Harmoni, Putra Heights memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi di Shah Alam terhadap lima pihak termasuk Petronas Gas Berhad, berhubung kejadian letupan dan kebakaran yang berlaku pada 1 April lepas.
Wakil plaintif, Loh Poh Heng berkata, tindakan itu difailkan terhadap Petronas Gas Berhad, Hong & Hong Homes Sdn Bhd, Pinterest Ventures Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan kerajaan Malaysia.
Katanya, mereka melantik bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sebagai peguam utama mewakili penduduk dalam tindakan guaman tersebut.
“Ini bukan sekadar tuntutan undang-undang, tetapi satu rayuan untuk keadilan dan pengiktirafan terhadap penderitaan kami. Kami mahu suara kami didengari,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata: “Kami percaya tragedi ini berpunca daripada kecuaian manusia dan sepatutnya boleh dielakkan. Talian penghantaran gas milik Petronas Gas Berhad diletakkan terlalu hampir dengan rumah kami, namun langkah keselamatan tidak mencukupi.
“Enam bulan selepas kejadian, ramai mangsa masih tidak mempunyai tempat tinggal kekal dan bergantung kepada bantuan keluarga atau tinggal di penempatan sementara.
“Kebakaran itu marak selama lebih tujuh jam sebelum berjaya dipadamkan. Rumah kami musnah, kehidupan porak-peranda, dan ramai penduduk mengalami kecederaan serius termasuk melecur teruk serta trauma emosi yang masih dirasai hingga kini.
“Parut kami mungkin tidak akan pernah hilang tetapi melalui tindakan sivil ini, suara kami akan didengari,” dakwanya pada satu sidang media di perumahan tersebut pada Sabtu.
Beliau turut mendakwa, penduduk dibiarkan tanpa maklumat jelas selepas insiden letupan itu.
“Selepas letupan berlaku, kami dibiarkan tanpa maklumat jelas. Siasatan dijalankan secara tidak telus dan kerja pembaikan dilakukan tanpa penjelasan kepada penduduk yang kediamannya musnah,” dakwanya.
Mengulas lanjut, Poh Heng memaklumkan, 36 penduduk menuntut pampasan atas kerugian termasuk rumah, kesihatan dan ketenangan jiwa selain keadilan serta ketelusan daripada pihak berkuasa.
Mereka juga berharap tiada komuniti lain perlu melalui pengalaman sama pada masa hadapan.
Insiden letupan gas yang berlaku pada jam 8.10 pagi pada 1 April bersamaan Aidilfitri kedua, telah menjejaskan 529 penduduk daripada 118 keluarga dan menyebabkan kerosakan 235 premis termasuk rumah dan kedai, dengan 87 daripadanya musnah sepenuhnya. – Sinar Harian