Negara Politik

Azmin terharu bertemu, bersalaman dengan PMX

SHAH ALAM: Walaupun majoriti rakyat Malaysia masih bersedih dengan berita pemergian bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, namun ia turut membawa hikmah tersembunyi termasuk merapatkan kembali hubungan silaturahim dalam kalangan ahli politik.

Perkara itu diakui sendiri oleh Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berpeluang bertemu dan bersalaman dengan bekas bos lamanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa memberi penghormatan terakhir kepada Abdullah di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada Selasa.

Antara pemimpin politik yang hadir ke Masjid Negara untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Pak Lah – Gambar FB Mohamed Azmin

“Menjelang solat Zohor, saya menyambut salam daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Lama kami tidak bertemu.

“Kami dipertemukan hari ini di dalam Masjid Negara pada bulan Syawal. Moga ALLAH SWT memberkati kita semua,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook selepas memberi penghormatan terakhir kepada Pak Lah yang dikebumikan di Makam Pahlawan, berhampiran Masjid Negara selepas solat Zohor.

Untuk rekod, Mohamed Azmin merupakan orang kanan Anwar dan antara pengasas serta penggerak utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak zaman Reformasi pada 1998 hingga tahun 2020.

Bagaimanapun, beliau kemudian mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden sebelum bertindak keluar parti bersama sembilan Ahli Parlimen PKR lain termasuk Naib Presiden, Datuk Zuraida Kamaruddin pada 10 Januari 2020.

Insiden yang berlaku sebelum Langkah Sheraton membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari 2020.

Selepas Langkah Sheraton, hubungan antara Mohamed Azmin dan Anwar menjadi semakin renggang, menyebabkan mereka jarang bertemu dan bertegur sapa.

Mohamed Azmin berkata, beliau bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke Masjid Negara untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Abdullah yang disifatkannya sebagai seorang negarawan unggul. – Sinar Harian

Related Posts