Negara

Trump umum tarif import 25 peratus terhadap Malaysia bermula 1 Ogos

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan tarif import sebanyak 25 peratus akan dikenakan terhadap Malaysia bermula 1 Ogos ini.

Trump berkata langkah itu perlu diambil untuk ‘melindungi industri tempatan Amerika Syarikat’ daripada apa yang beliau sifatkan sebagai amalan perdagangan tidak adil oleh beberapa negara.

“Kita tidak boleh lagi membiarkan negara lain mengambil kesempatan terhadap kita. Mulai 1 Ogos, semua import dari Malaysia akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus,” katanya dalam satu surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikongsi dalam laman Truth Social, milik Trump Media & Technology Group.

Antara negara yang akan menghadapi tarif 25 peratus ialah Jepun, Korea Selatan, Tunisia, Kazakhstan manakala kadar lebih tinggi akan dikenakan terhadap negara lain: Afrika Selatan dan Bosnia & Herzegovina (30 peratus); Serbia dan Bangladesh (35 peratus); Kemboja dan Thailand (36 peratus) serta sehingga 40 peratus untuk Laos dan Myanmar.

Pada 2 April lalu, Trump mengumumkan ‘tarif hari pembebasan’ yang menyaksikan kadar asal 24 peratus ke atas import dari Jepun dan 25 peratus terhadap Korea Selatan. Malaysia antara negara yang turut terkesan.

Bagaimanapun tarif timbal balas itu ditangguh pentadbiran Trump selama 90 hari bagi mengadakan rundingan bersama semua negara dagang.

Tempoh penangguhan itu dijadualkan tamat Rabu ini, namun Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt memaklumkan Trump akan menandatangani perintah eksekutif bagi melanjutkan tempoh berkenaan hingga 1 Ogos.

“Kami telah menghantar surat pemberitahuan kepada negara-negara yang terbabit dan lebih banyak surat akan dihantar dalam beberapa hari lagi,” kata Leavitt. – Berita Harian

Related Posts