KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mahu Ahli Parlimen ‘move on’ jika ada yang terkhilaf dengan dakwaan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyerbu Masjid Rusila di Marang, Terengganu pada 19 September lalu.
“Saya nak ‘move on’. Tak apalah. Sifat manusia ada khilaf. Kadang-kadang terlepas pandang,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Pernyataan itu dibuat selepas Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mencelah sesi penggulungan itu.
Takiyuddin ketika itu akui tiada niat dalam kalangan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) terutama dirinya untuk menyalahkan pegawai kerajaan apatah lagi anggota Maritim Malaysia.
Justeru, Setiausaha Agung PAS itu menyifatkan isu berkenaan selesai dan tiada masalah timbul, apatah lagi membabitkan beliau dengan Saifuddin Nasution.
“Saya kemukakan persoalan ini kerana tempat itu (Masjid Rusila) sendiri dalam keadaan tertentu adalah sensitif untuk diadakan apa-apa perkara.
“Oleh sebab itu tujuan kami PN elak daripada salah faham dan tidak ada langsung niat kami untuk salahkan pegawai kerajaan apatah lagi anggota Maritim Malaysia.
“Cuma kami minta lain kali kita elakkan perkara ini walaupun kami tak ada masalah jika ia dilakukan berdasarkan undang-undang. Surat daripada Maritim Malaysia kepada pihak tertentu, polis (sudah pun) jelaskan perkara ini,” katanya.
Terdahulu, Saifuddin Nasution menjelaskan latihan komando Maritim Malaysia yang berlangsung 16 hingga 22 September lalu sudah pun dimaklumkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah di semua daerah terbabit.
Bagaimanapun, beliau akui latihan berkenaan mungkin menimbulkan situasi curiga tetapi ia tidak sampai memperlihatkan seperti satu serbuan atau serangan.
“Tidak sama sekali kerana itu kita tak nafikan ia mengundang satu reaksi daripada pihak masjid. Pengerusinya ikut jalur betul dibuat laporan polis.
“Polis kemudian jumpa bukan saja dengan Pejabat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Batu Buruk tetapi juga dengan Pejabat Ahli Parlimen Marang dan terangkan bahawa ini satu latihan.
“Alhamdulillah ADUN Batu Buruk baik Ahli Parlimen Marang yang polis berurusan dengan kakitangan pejabatnya menerima itu adalah satu kursus yang ada keperluan dan kewajarannya,” katanya. – Berita Harian
