PETALING JAYA – Kadar pengangguran negara mencatatkan penurunan kepada tiga peratus pada April lalu merupakan paras terendah dalam tempoh 10 tahun.
Jabatan Perangkaan (DOSM) dalam satu kenyataan berkata, jumlah pengangguran berkurang kepada 525,900 orang, berbanding 529,600 orang pada bulan sebelumnya.
Bilangan penduduk bekerja pada April tahun ini meningkat dengan pertambahan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.82 juta orang berbanding 16.78 juta orang pada bulan sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kedudukan ekonomi negara yang meyakinkan menyumbang kepada tenaga buruh yang stabil pada bulan berkenaan dengan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja dan kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi, manakala pengangguran terus menurun.
“Sebanyak 79.6 peratus daripada bilangan penganggur adalah penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan,” katanya.
Menurut Mohd. Uzir, kadar pengangguran bagi belia berusia 15 hingga 30 tahun berkurangan kepada 6.2 peratus, dengan bilangan penganggur belia seramai 400,600 orang pada b ulan sama, berbanding 399,400 orang pada Mac.
Bilangan tenaga buruh bagi bulan dikaji juga terus berada pada trend menaik, dengan peningkatan sebanyak 0.2 peratus kepada 17.34 juta orang.
Oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh naik sebanyak 0.1 mata peratus kepada 70.8 peratus menunjukkan lebih ramai penyertaan buruh dalam pasaran.
Mengulas lanjut, DOSM menjangkakan pasaran tenaga buruh negara akan kekal optimis menjelang bulan-bulan berikutnya tahun ini, disokong oleh dasar ekonomi yang kukuh dan permintaan domestik yang stabil. – Kosmo