KOTA BAHRU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mewajibkan pemasangan dan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua bas ekspres dan bas persiaran bermula 1 Julai ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pelaksanaan itu melibatkan bas yang dibina mulai 1 Januari 2020 kerana telah diwartakan untuk pemasangan tali pinggang keledar.
Menurut beliau, bagi bas yang dibina sebelum tahun 2020, akan diberi tempoh tertentu untuk membuat pemasangan tali keledar itu.
“Kita sedang meneliti dan menjalankan sesi libat urus bersama pihak industri bagi memberi tempoh kepada syarikat pengendali bas untuk memasang tali pinggang keledar di tempat duduk penumpang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Setia Khas JPJ Malaysia di sini pada Ahad.
Aedy Fadly memberitahu, pihaknya juga telah memanggil pihak industri bagi memaklumkan bahawa satu mekanisme atau prosedur operasi standard (SOP) perlu diwujudkan di peringkat syarikat bas untuk memastikan pemandu dan penumpang memakai tali pinggang keledar sebelum bas bergerak.
Jelas beliau, jabatan itu juga akan mengeluarkan garis panduan kepada syarikat pengendali bagi memastikan pematuhan terhadap arahan tersebut.
“Jika gagal mematuhi arahan berkenaan, pemandu, penumpang dan pengendali syarikat akan dikenakan notis saman sebanyak RM300.
“Pemakaian tali pinggang keledar ini merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan keselamatan jalan raya,” katanya. – Sinar Harian